• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

YPU Sasar Tiga Siri Progam Usahawan Belia Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan menganjurkan tiga siri program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, berbeza sebelumnya, hanya satu siri dijalankan pada setiap tahun.

"Untuk tahun ini, kita mensasarkan tiga siri UBES dijalankan. Siri pertama untuk 2022 telah selesai diadakan.

"Kita rancang akan ada dua siri lagi sepanjang tahun 2022 bagi memberi peluang kepada usahawan-usahawan belia di Terengganu ini," katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Perasmian Penutup UBES 3.0 yang berlangsung di Tok Aman Bali Beach Resort, Kelantan, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda.

UBES 3.0 yang berlangsung selama lima hari tersebut menghimpunkan 40 usahawan belia Terengganu dari pelbagai sektor untuk didedahkan dengan pelbagai ilmu-ilmu keusahawanan.

Salah seorang peserta, Nurul Fatin Aqilah Rahim, 25, yang menjalankan perniagaan telur itik berkata, melalui UBES 3.0 beliau memperoleh pelbagai input yang sangat berguna untuk perniagaannya.

"Melalui kursus ini, saya dapat strategikan balik perniagaan yang akan saya jalankan dengan skala dan bentuk baru.

"Saya juga berharap agar program UBES ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu belia Negeri Terengganu untuk meningkatkan perniagaan mereka," katanya.

Bagi Safwan Sahrin, 25, yang menjalankan perniagaan dalam fisioterapi berkata pelbagai ilmu yang dapat beliau pelajari.

"Jika sebelum ini saya menjalankan perniagaan tanpa ilmu yang mencukupi contohnya macam margin dalam perniagaan sedangkan banyak yang perlu dipelajari.

"Jadi melalui kursus ini banyak yang pelajari dari segi perancangan syarikat saya dalam masa panjang serta cara-cara untuk menguruskan kewangan syarikat," katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar sepanjang program UBES 3.0 berlangsung, Haslinda Hashim berkata UBES anjuran YPU berbeza jika dibandingkan dengan kursus keusahawanan lain.

"Peserta terpilih ini adalah melalui urusetia yang turun sendiri ke lapangan bagi mengenal pasti usahawan-usahawan tersebut. Ianya sangat bagus kerana kita dapat tahu latar belakang perniagaan dan peserta ini sendiri sebelum diserapkan dalam program UBES.

"Modul yang dibuat pula adalah khas dirangkakan mengikut keperluan semasa peserta bukan modul lama. Walaupun ianya padat dan intensif namun dengan pemilihan yang tepat, peserta-peserta ini mampu menghabiskan modul tersebut," katanya.