• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

DUNGUN, 23 Februari - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) akan diterajui oleh pengarahnya yang baharu, Zamra Derahman menggantikan Mohd Fikri Ismail yang bertukar ke Politeknik Kota Bharu.

Menurut Unit Komunikasi Korporat PSMZA, pelantikan Zamra, 57 berkuatkuasa 16 Februari 2023 dan akan memulakan tugasnya pada 26 Februari nanti.

"Beliau yang berpengalaman selama 31 tahun dalam sektor pendidikan Politeknik dengan mula bertugas di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan, Pahang," kata sumber itu lagi. Beliau juga merupakan antara pensyarah yang cemerlang, disegani dan mempunyai pengetahuan luas dalam sistem Politeknik di sepanjang perkhidmatan beliau.

"Seluruh warga PSMZA mengalu-alukan kehadiran pengarah baharu itu dan bersedia untuk bekerja bersama-sama bagi menjadikan PSMZA sebagai salah sebuah Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang terbaik di negara dan dalam masa yang sama melahirkan graduan TVET yang berkualiti", ujar jurucakap itu lagi.

Pelantikan beliau sebagai Pengarah di PSMZA boleh dikatakan seperti 'sirih pulang ke gagang' kerana beliau sendiri merupakan anak watan yang pulang berbakti di negeri kelahiran.


Tag: