Jalur Gemilang
Berita :
Pengorbanan Ibu Terbalas, Nur Suraini Genggam Ijazah Kelas Pertama
Pengorbanan Ibu Terbalas, Nur Suraini Genggam Ijazah Kelas Pertama
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
18 jam yang lepas
21

DUNGUN, 18 NOVEMBER – Kehilangan ayah ketika berusia lima tahun tidak mematahkan semangat Nur Suraini Saulamit, 23, untuk mengubah nasib keluarga. 

Sebaliknya, kepayahan hidup menjadi pembakar semangat sehingga berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Kelas Pertama dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu menerima ijazah berkenaan pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-39, Sesi Keempat, sekali gus menjadi individu pertama dalam keluarganya yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat universiti.

Ujian hidupnya bermula sejak kecil apabila kehilangan ayah, sebelum abang keduanya pula meninggal dunia hanya dua bulan kemudian.

Di sebalik kejayaan tersebut, tersimpan pengorbanan besar ibunya yang membesarkan lapan orang anak bersendirian. Daripada seorang suri rumah, ibunya melakukan pelbagai pekerjaan halal termasuk mengemas rumah, membasuh pakaian dan berniaga di kantin demi menyara keluarga.

Abang sulungnya turut mengorbankan impian menyambung pengajian demi bekerja membantu ibu membesarkan adik-adiknya.

Perjalanan pendidikan Nur Suraini juga penuh cabaran. Ketika melanjutkan pengajian ke peringkat asasi, ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara bagi menampung yuran pengajian.

Ketiadaan komputer riba pada awal pengajian turut menyukarkan pembelajarannya. 

Namun, keprihatinan dua pensyarahnya, Namirah Mohd Akahsah dan Atifah Othman, yang menghadiahkan sebuah komputer riba telah banyak membantunya. 

Komputer riba tersebut masih digunakan sehingga kini sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.

Pengajian di UUM turut dipermudahkan melalui bantuan kewangan Yayasan Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). 

Hasil kecemerlangan akademik serta kejayaan memperoleh Anugerah Dekan bagi beberapa semester, pinjaman pendidikan Yayasan Terengganu yang diterimanya kemudiannya ditukarkan kepada biasiswa penuh.

Kini, beliau sedang menjalani latihan dalam kamar (chambering) di firma guaman Khairul Sofian Anuar & Co. sebagai persediaan merealisasikan cita-cita untuk bergelar seorang peguam.

Nur Suraini turut merakamkan penghargaan kepada ibunya, abang-abang, kakak, seluruh ahli keluarga serta sahabat handai yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang pengajiannya. Kejayaan itu juga didedikasikan buat arwah ayah dan abang yang telah terlebih dahulu meninggalkan keluarga.

Baginya, kejayaan menggenggam ijazah bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi hadiah paling bermakna buat ibu yang telah mengorbankan seluruh kudrat dan tenaga demi masa depan anak-anak.

“Saya datang daripada keluarga yang sederhana, tetapi saya dibesarkan dengan pengorbanan yang luar biasa. Hari ini, saya hanya mahu mengatakan bahawa segala pengorbanan itu tidak pernah sia-sia. Alhamdulillah,” katanya.

Kisah Nur Suraini menjadi bukti bahawa kehilangan dan kesusahan hidup bukan penghalang untuk berjaya. Sebaliknya, dengan kecekalan, doa serta sokongan keluarga, impian mampu direalisasikan.

Di sebalik segulung ijazah kelas pertama itu, tersimpan doa, air mata dan pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah mengenal erti penat demi melihat anak-anaknya berjaya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan