• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Ziarah Ramadan PSMZA Bantu Pulihkan Semangat Kakitangan Ditimpa Musibah

DUNGUN, 6 April – Bersempena bulan Ramadan yang mulia, pihak pengurusan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA)  telah mengadakan Program Ziarah dan Sumbangan Ramadan sebagai membantu memulihkan semangat kakitangannya yang telah ditimpa musibah. 

Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata baru - baru ini, rombongan yang diketuai oleh Pengarahnya, Zamra Derahman telah menziarahi  seorang pensyarah yang menghidap kanser payudara tahap empat , Noorain Farhanah Abdul Ghani, 36, yang baharu sahaja bertukar dari Politeknik Kota Kinabalu (PKK) ke PSMZA. 

"Beliau telah lebih setahun bertarung melawan penyakit tersebut dan masih belum sempat untuk berkongsi dan mencurahkan ilmu buat anak- anak didik di tempat baharu.

"Kini pulang ke kampung dan dijaga sepenuhnya oleh ibu beliau di Felda Tersat, Ajil," katanya. 

Menurutnya lagi, keadaan Noorain yang juga seorang ibu tunggal amat menyedihkan kerana hanya mampu berbaring dan tidak dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.

"Penyakit tersebut telah mula  dikesan ketika sudah berada di tahap empat dan kini ianya  telah merebak ke tulang membabitkan komplikasi rangka.

"Komplikasi tersebut menyebabkan beliau seolah- olah putus harapan dan hanya mengharapkan doa dan semangat dari ahli keluarga dan rakan sekerja," ceritanya lagi. 

Katanya, memandangkan Noorain merupakan anak kelima dari enam orang adik beradik yang kebanyakannya bekerja sendiri di kampung. 

"Manakala rumah yang didiami berada jauh dari pusat bandar yang mana memberi kesukaran buat beliau dan ibunya yang sudah melewati usia 70-an untuk keluar mendapatkan rawatan, bekalan perubatan serta bekalan makanan dan keperluan harian. 

"Pihak pengurusan PSMZA mewakili Noorain Farhanah ingin memohon sumbangan ikhlas daripada orang awam bagi membantu membiayai kos perubatan dan keperluan harian beliau yang memerlukan belanja yang besar," jelasnya.

Sumbangan ikhlas tersebut boleh disalurkan secara terus ke akaun beliau iaitu 163037113452 (MAYBANK), NOORAIN FARHANAH BINTI ABDUL GHANI. 

 


Tag: