• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir Terus Gamit Pengunjung



Tasik Kenyir yang diberi status zon bebas cukai bakal dikenali sebagai satu daripada destinasi membeli-belah dan pelancongan paling popular di Terengganu dan Pantai Timur.

Pusat pelancongan itu kini menjadi syurga membeli-belah bagi kaum wanita apabila pelbagai keperluan rumah terutama perkakas pinggan mangkuk ditawarkan dengan kadar lebih murah berbanding di pusat jualan lain.

Tinjauan Teganukita mendapati pada hari kelima selepas pelancaran oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dalam dan luar negeri.

Bagi seorang pengunjung, Syed Ali Syed Rahman,47, yang menetap di Johor Bahru,dia memilih Tasik Kenyir sebagai pusat percutian terbaru untuk mereka sekeluarga pada kali ini.

"Pengalaman bercuti di Langkawi memang tidak mudah dilupakan. Kami pernah beberapa kali ke sana tapi dengan pembiayaan sendiri. Walaupun barangan di sana bebas cukai, apa yang kita perlu tahu, kos untuk ke sana tidaklah murah.

"Banyak perkara yang harus di ambil perhatian. Dari kos pengangkutan, kos makanan, kos tempat tinggal termasuklah kos untuk membeli belah dan memasuki tempat-tempat menarik di sana. Bila pergi dengan duit sendiri, semuanya rasa nak berkira, sayang duit.

"Jadi, apabila mendapat peluang untuk ke Tasik Kenyir yang melibatkan separuh kos berbanding ke Langkawi, ia memang satu peluang berharga yang tidak patut dilepaskan walaupun tidak banyak pilihan barang jualan seperti di Langkawi,"kata Syed Ali kepada Teganukita ketika ditemui di Pengkalan Gawi, hari ini.

Menurut Syed Ali, bukan sahaja dapat membeli- belah malah dapat melihat sendiri tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dan kaya dengan keindahan semula jadi serta lagenda masa silam.

Nurul Nadwah Hussin

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nurul Nadwah Hussin,34, berkata dia daripada Kuantan bercuti di Tasik Kenyir semata-mata ingin merasai sendiri tarikan terbaru destinasi itu sebagai Pulau Bebas Cukai terbaru.

"Nampaknya, di Tasik Kenyir, saya boleh membeli apa saja yang dijual di Pulau Langkawi. Dari pelbagai pilihan pinggan mangkuk, periuk, beg, hinggalah coklat yang murah semuanya dijual di sini.

" Pendek kata, Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir ini sudah macam 'one stop centre' yang amat berbaloi,"katanya.

Menurut kata orang perempuan yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini harga-harga pinggan, harga di sini secara kasar adalah lebih murah dari tempat lain termasuk Kuala Lumpur.

"Perbezaan harga kadang-kadang boleh mencecah sehingga 50 peratus. Memang tak hairanlah kalau saya asyik membeli sampai lupa makan minum hari ini...lepas ni tak perlu lah pergi Langkawi lagi,"kata Nurul lagi.

Norhasmida Ismail

Dalam pada itu, kerani jualan Ketengah Holding(KH SHOPPE), Norhasmida Ismail,32, berkata, dia tidak menang tangan melayan kerenah pelanggan yang datang membeli sejak kiosk jualan dibuka pada 1 Ogos baru-baru ini.

"Orang ramai mula datang pada jam 9 pagi hingga 6 petang dan kemuncaknya pada hari cuti hujung minggu. Kebanyakan yang datang adalah orang tempatan termasuklah dari luar seperti daripada Johor, Kelantan, Pahang dan sebagainya.

"Jualan memang tinggi dan banyak barang kehabisan stok seperti coklat sehingga kami terpaksa memesan stok yang lebih banyak supaya pengunjung yang datang tidak pulang dengan hampa,"katanya.

Tag: