KUALA NERUS, 7 Oktober – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor menyokong penyertaan wanita melebihi 30 peratus dalam kepimpinan dan jawatan pembuat keputusan sekiranya mereka mempunyai kelayakan serta kemampuan diperlukan.
Menurutnya, kelayakan, kepakaran dan pengalaman perlu menjadi pertimbangan dalam memilih pemimpin bagi memastikan mereka mampu memikul tanggungjawab yang diberikan.
“Bagi saya, kalau seseorang itu layak, berkelayakan, berkemampuan, ada kepakaran dan pengalaman, lebih daripada 30 peratus pun saya setuju.
“Tetapi kalau sekadar memenuhi kuota 30 peratus sedangkan tidak mempunyai kelayakan dan kemampuan, itu bukan cara kita melahirkan kepimpinan kerana kepimpinan bukan perkara main-main,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Perasmian Kepimpinan Wanita Siri Kedua di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus pada 5 Oktober.

Menurutnya, persediaan itu penting bagi memastikan wanita mempunyai ilmu dan kemahiran mencukupi sebelum diberi tanggungjawab lebih besar.
Beliau berkata, wanita dalam pentadbiran negeri turut menunjukkan kemampuan memegang jawatan kanan berdasarkan prestasi serta komitmen masing-masing.
“Yang tadi pasal JUSA C itu berkaitan dengan TCS, bukan bidang kuasa saya. Tetapi saya nampak ramai sebenarnya pegawai pentadbiran Terengganu yang menjadi pengarah seperti Pengarah Perpustakaan, SUB dan jawatan-jawatan tinggi.
“Bukan sebarangan mereka boleh berada di situ. Insya-Allah akan datang, saya yakin ramai pegawai kita akan mendapat pangkat lebih tinggi berdasarkan komitmen dan kerja mereka pada hari ini,” ujarnya.

“Saya secara peribadi melihat pegawai-pegawai kita cukup bagus bekerja dan cukup kuat bekerja. Kita sebagai wanita apabila diberikan amanah, kita cuba buat yang terbaik dan all out,” katanya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, kursus dan program pembangunan kepimpinan wanita perlu diteruskan bagi membina keberanian, meningkatkan kemahiran membuat keputusan serta memperkukuh kepakaran dalam bidang masing-masing.
“Kalau nak lahirkan ramai pengarah, kita perlu ada usaha. Kita buat kursus, beri pendedahan dan pengalaman serta mantapkan ilmu.
“Kalau perlu pergi kursus, pergi kursus. Kalau perlu mantapkan kepakaran dalam bidang tertentu, kita mantapkan. Perancangan awal perlu ada,” katanya.
Menurutnya, usaha melahirkan pemimpin wanita berwibawa mengambil masa dan memerlukan perancangan tersusun supaya mereka bersedia dari segi ilmu, pengalaman serta kemampuan apabila diberi tanggungjawab.