• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Zuraida Usul Tiga Langkah Elak Tragedi Lemas Berulang

KUALA TERENGGANU, 23 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengusulkan tiga langkah bagi mengelakkan tragedi lemas di pantai berulang kembali di negeri ini.

Beliau berkata antara langkah yang perlu diambil ialah memperbanyakkan pemasangan papan tanda bahaya setiap 100 meter di kawasan tumpuan, memasang bendera merah ketika laut bergelora dan menubuhkan lebih ramai skuad pasukan penyelamat pantai atau 'lifeguard' di pantai yang berisiko.

“Serta di kawasan tumpuan terutamanya ketika laut bergelora serta melaksanakan langkah keselamatan yang tinggi apabila melibatkan aktiviti rekreasi di air. 

“Skuad penyelamat pantai ini tidak terhad kepada Angkatan Pertahanan Awam (APMM) sahaja, tetapi perlu melibatkan agensi penyelamat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan sebagai satu gabungan tenaga yang komprehensif untuk memastikan keselamatan di pantai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambah Zuraida, situasi kehilangan nyawa melibatkan kejadian lemas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengenal latar belakang individu. 

Selain kesedaran individu katanya, agensi berkaitan perlu bertanggungjawab dan lebih cakna berkenaan aspek-aspek keselamatan dalam setiap perancangan pembangunan di manamana sahaja lokasi. 

“Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah mewujudkan zon selamat yang dikhususkan untuk pengunjung mandi manda di kawasan rekreasi pantai Pulau Kekabu, Marang.

“Elok sekiranya zon selamat ini diperluas ke pantai-pantai kawasan panas atau ‘hotspot’ (dengan izin) yang selalu berlakunya kejadian lemas,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: