• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

20 Nelayan Asing Ceroboh Perairan Ditahan Maritim Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu berjaya menahan 20 nelayan asing Vietnam yang menceroboh masuk perairan negara pada jarak 116 batu nautika dari Muara Kuala Terengganu, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata bot nelayan asing tersebut berjaya ditahan pada pukul 1.20 tengah hari selepas bertindak melarikan diri sebelum itu.

Katanya, 20 orang kru termasuk tekong warga Vietnam yang masing-masing berumur antara 18 hingga 49 tahun ditahan ketika berada di atas bot tersebut.

“Maritim Malaysia Terengganu merampas bot dan peralatan menangkap ikan, ikan campur dianggarkan 300 kilogram, peralatan komunikasi dan navigasi serta 2,000 liter bekalan diesel.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta," katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Tambah Khairulanuar, pihaknya telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.30 tengah hari ketika melakukan rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut.

“Menyedari kehadiran Kapal Maritim, bot tersebut telah melarikan diri ke arah sempadan Vietnam namun gagal apabila berjaya ditahan.

"Pemeriksaan turut mendapati tekong gagal menunjukkan sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

 

 


Tag: