• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

21,901 Kanak-Kanak Terengganu Daftar Vaksin Covid-19

KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Seramai 21,901 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah didaftarkan menggunakan aplikasi Mysejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata jumlah tersebut hanya meliputi 12 peratus dari 124,206 kanak-kanak yang disasarkan untuk diberikan suntikan vaksin COVID-19 di negeri ini.

Justeru itu katanya, semua ibu bapa yang mempunyai anak berumur lima hingga 11 tahun diseru untuk membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin Covid-19 sama ada melalui PPV sekolah atau mendaftar melalui MySejahtera.

“Pemberian vaksin kepada kanak-kanak akan mengurangkan kemungkinan mereka untuk mendapat jangkitan serius atau mengalami komplikasi jangka panjang akibat jangkitan COVID-19.

“Ujian klinikal menunjukkan pengurangan 90 peratus kemungkinan mendapat jangkitan bergejala di kalangan kanak-kanak yang telah divaksin. 

“Vaksin yang digunakan telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah untuk digunakan kepada kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga 12 tahun di Klinik Paediatrik, Kompleks Rawatan Harian, HSNZ di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr Kasemani Embong.

Dalam program tersebut, seramai 20 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menjadi kumpulan pertama penerima suntikan vaksin melalui PICKids di Terengganu.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 141 pusat pemberian vaksin (PPV) melibatkan 64 PPV sekolah, 39 PPV klinik swasta, 24 PPV klinik kesihatan, lapan PPV 'off site' dan 6 PPV hospital kerajaan diaktifkan di seluruh Terengganu bagi menjayakan PICKids.

Beliau juga berkata seramai 7,200 kanak-kanak tergolong dalam kumpulan komobid dan berisiko tinggi telah dikenalpasti dan mereka perlu mengambil vaksin di PPV hospital bagi memudahkan pemantauan dibuat

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dalam melaksanakan PPV di sekolah dengan sasaran 80 peratus kanak-kanak yang layak akan menerima vaksin Covid-19,” kata Dr Alias.

Sementara itu, rata-rata ibu bapa ditemui  memilih untuk menghantar anak masing-masing menerima suntikan vaksin kerana yakin langkah itu satu ikhtiar untuk kehidupan yang lebih selamat.

Peningkatan kembali kes jangkitan Covid-19 di negara ini antara faktor mereka merebut peluang melalui PICKids untuk menghantar anak masing-masing mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.