• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

35 Jam 'Heret' Bot Nelayan Asing ke Jeti

KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu memerlukan masa selama 35 jam untuk membawa dua bot nelayan asing Veitnam yang ditahan ke Jeti Maritim Negeri Terengganu berikutan cuaca buruk dan ombak bergelora.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata, kesukaran tersebut bagaimanapun tidak menghalang operasi Maritim apabila berjaya menahan dua bot terbabit bersama 19 kru termasuk tekong.

"Kedua-dua bot ditahan oleh bot Maritim yang melaksanakan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat pada jam 10.15 malam, Isnin lalu ketika sedang melakukan tunda ganding di jarak lebih kurang 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

"Kesemua kru termasuk tekong berumur antara 16 hingga 62 tahun ditahan bersama hasil tangkapan laut sebanyak 900 kilogram melibatkan 400kg ikan baja dan 500kg ikan campur.

"Selain itu, turut dirampas adalah bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan dengan nilai keseluruhan hampir RM3 juta," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Maritim Malaysia Negeri Terengganu, hari ini.

Jelasnya, bot serta kru yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

"Maritim Negeri Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

"Tahun ini, sebanyak 30 tangkapan direkodkan melibatkan kompaun sebanyak RM2.3 juta dan RM14 juta denda mahkamah dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM45 juta," tambahnya.

 

 

 

 


Tag: