• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Adinda Sultan Mizan Selamat Dimakamkan

KUALA TERENGGANU, 4 Julai- Jenazah Yang Amat Mulia Tengku Norhana Almarhum Sultan Mahmud, 59, selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, pada kira-kira jam 7.20 petang ini.

Almarhumah merupakan adinda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kembali ke rahmatullah pada awal pagi tadi di Kuala Lumpur dan telah dibawa pulang sekitar jam 3.45 petang ke Kuala Terengganu.

Jenazah Almarhumah Tengku Norhana dibawa dengan van jenazah dari Balai Islam Istana Syarqiyyah selepas selesai penghormatan terakhir dan tiba di Makam Diraja Masjid Abidin kira-kira 6.13 petang.

Sultan Mizan berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman diiringi Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda serta kerabat DiRaja.

Kedua-dua anakanda Sultan Mizan iaitu Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az turut berkenan mencemar duli membantu istiadat pemakaman.

Bacaan talkin diimamkan Mufti Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron.

Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah berangkat pulang dari Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah kira-kira 7.25 petang.

 


Tag: