• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Anak Perantau Terima Sumbangan Daging Korban

HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 70 anak perantau Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil di sekitar Lembah Kelang menerima sumbangan berupa daging korban dari wakil rakyatnya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini semalam.

Sekretariat program,Mohd Fauzi Ismail, 38, berkata sumbangan lembu dari ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim telah diuruskan oleh syarikat Al Ahzar Care.


"Daging korban yang melibatkan seekor lembu ini diagihkan kepada anak perantau di sekitar Lembah Kelang.

"Aktiviti ini pertama kali dilakukan tahun ini menggambarkan keprihatinan dan tanda ingatan untuk anak perantau yang tidak dapat pulang menyambut hari raya korban bersama keluarga di kampung yang mana kita harapkan ia terus kekal dan jalinan erat antara pemimpin dan rakyat di sini,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Seorang penerima agihan daging korban berkenaan, Pegawai Waran Satu, Aida Azma Md Nor, 38, yang berasal dari Felda Jerangau Barat merasa terharu kerana pertama kali menerima daging korban dari seorang ADUN.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada YB dan team kerana atas kiriman daging korban ini.

“Walaupun tidak dapat balik kampung di musim pandemik ini tapi adanya daging korban ‘fresh’ dari Terengganu dapat mengubat rindu pada kampung halaman yang sekian lama tidak boleh balik. Pemberian ini amat bermakna bagi saya," katanya yang bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sejak dua tahun lepas.


Bagi Mohd Nor Hairi Jusoh, 38, berkata inisiatif tersebut amat bermakna, walaupun hanya sekilo daging korban tetapi ingatan dari pemimpin yang juga bekas guru yang mengajar dirinya semasa beliau menuntut di SMK Landas.

"Saya sangat bersyukur kerana kami diingati dan ini adalah sumbangan pertama yang kami perolehi dari Terengganu dan sedikit sebanyak kami dapat menikmati daging korban seisi keluarga," katanya yang merupakan anggota polis.

Manakala seorang usahawan, Mohd Kamaruzaman Kasim, 36, pula menyifatkan sumbangan daging korban itu sangat bermakna.

“Asalnya untuk diagihkan kepada yang berada di sekitar Shah Alam sahaja, namun disaat akhir pengagihan, kita berjaya agihkan kepada perantau Ajil yang berada di lembah klang.

"Walaupun tak semua, tapi 95 peratus agihan berjaya dilaksanakan dan terima kasih kepada semua yang menjayakannya,"katanya.