• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Empat Hospital Di Terengganu Terjejas Akibat Banjir

KUALA TERENGGANU, 20 Disember- Empat Hospital dan puluhan Klinik Kesihatan di negeri ini terjejas akibat banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat hospital tersebut melibatkan Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu.
 
Katanya, peningkatan paras air mendadak di kawasan berhampiran Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu menyebabkan laluan ke hospital dan kawasan sekitar terputus.
 
“Laluan tersebut hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan air atau udara sahaja.
 

“Bagaimanapun, hospital-hospital ini sudah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dengan keperluan bekalan perubatan, makanan yang mencukupi,” menurutnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 40 fasiliti kesihatan juga terjejas banjir di Terengganu.
 
“Ia melibatkan klinik desa, klinik kesihatan, klinik pergigian, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Unit Vektor di Jabatan Kesihatan Negeri.
 
“Daripada jumlah itu, sebanyak 19 fasiliti kesihatan masih beroperasi, enam pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif dan 15 tidak beroperasi,” katanya.
 
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan agar peka dengan arahan semasa pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan bagi mencegah penyakit berjangkit berkaitan banjir.