• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kelonggaran Kepada Individu Lengkap Vaksin Sedang Dikaji

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Jawatankuasa teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang melakukan kajian untuk memberikan kelonggaran kepada individu yang telah lengkap suntikan vaksin setelah meneliti beberapa pandangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar kesihatan yang menzahirkan kebimbangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak terbabit meminta agar larangan rentas negeri serta daerah terus dikuatkuasakan kerana dikhuatiri akan terus  berlaku penularan jangkitan melihat kepada situasi semasa pandemik Covid-19 sentiasa berubah-ubah.

"Tetapi berkemungkinan beberapa pengecualian berupaya untuk diberikan, contohnya pasangan jarak jauh yang masing-masing sudah lengkap suntikan imunisasi, maka boleh dibenarkan merentas negeri dan daerah untuk berjumpa.

"Kajian sedang dibuat, kita tiada garis masa bila perkara ini akan dimuktamadkan kerana perlu diperhalusi secara berhati-hati," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi Kilang Pharmaniaga Berhad bagi menyaksikan penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin Sinovac dari Pharmaniaga Berhad kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya, keputusan yang akan dimuktamadkan itu nanti akan turut memberi perhatian kepada pemilik perniagaan.

"Kita akan melihat kepada keperluan memberi kelonggaran mengikut jenis perniagaan, di mana majikan yang sudah memberikan suntikan kepada semua pekerjanya dan tidak mempunyai sebarang rekod pembentukan kluster.

"Justeru ada asas tertentu yang diambil kira sebelum dibenarkan untuk beroperasi," ujarnya.

Katanya, walau bagaimanapun keputusan yang akan dimuktamadkan bagi memberikan kelonggaran itu nanti akan merangkumi model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains secara menyeluruh.

 

 


Tag: