• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Keperluan Orang Muda Jadi Keutamaan Kerajaan

DUNGUN, 26 Januari - Kerajaan Terengganu sangat mengambil berat keperluan orang muda terutamanya yang sudah berkeluarga dan berhasrat untuk membina kehidupan sendiri.

Mohd Hairi Amri Mohd Zakaria, 32 menyifatkan demikian sambil berkata pemberian tanah tapak rumah adalah sangat bertepatan dengan situasi sekarang rata-rata orang muda yang berkeluarga tinggal di rumah sewa.

"Kalau dulu harga sebidang tanah hanya RM20,000 tetapi sekarang mencecah sehingga ratusan ribu, jadi langkah kerajaan menyediakan tanah kepada kami dengan hanya perlu membayar 10 peratus daripada harga nilaian semasa amat wajar sekali," ujar bapa kepada dua orang anak itu. 

Hairi ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah DUN Rantau Abang di Dewan Al-Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah, di sini semalam. 

Mohd Hairi 

 

Di dalam majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu, seramai 206 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok(RTB) menerima geran hak milik tanah masing-masing. 

Turut hadir di majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Khas Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid dan Ketua Penolong Tadbir Tanah Daerah Dungun,  Syukri Ibrahim. 

Manakala , Mohd Hasrull Farzuzi Mohd Zaili, 37, berpuas hati dengan kerajaan yang ada pada hari ini, hampir semua manifesto dilaksanakan.

"Janji - janji manifesto untuk orang muda sudah dilaksanakan dan dengan pemberian tanah ini, saya bersyukurlah dapat tanah tapak rumah, macam orang memerlukan seperti saya," katanya yang bekerja sebagai tukang cat.

Sementara itu, Alias di dalam ucapannya mengingatkan tanah yang diberi hak milik itu adalah amanah dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.


Tag: