• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Maafkan Kami, Terima Kasih Penyokong Terengganu '

KUALA LUMPUR, 11 September - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain merakamkan permohonan maaf kepada semua penyokong Terengganu atas kekalahan pasukan pantai timur itu kepada Johor DT dalam perlawanan akhir Piala FA 2022.

"Maaf kepada penyokong yang datang dengan harapan kita muncul juara malam ini.

"Terima kasih atas sokongan dan saya tahu ramai kecewa dengan keputusan malam ini.

"Saya juga kecewa tetapi kita telah memberikan yang terbaik dan kita telah berjaya ke perlawanan akhir dengan skuad yang kita ada," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Menurutnya, jurang kualiti antara kedua-dua pasukan memberi impak yang besar dalam perlawanan itu.

"Kita kena faham, dalam perlawanan akhir situasi berbeza dan pemain-pemain Terengganu memiliki kualiti berbeza berbanding pemain Johor DT dari semua aspek.

"Dengan pengalaman di 'final', memang sukar bermain menentang Harimau Selatan. 

Mereka mempunyai kualiti lebih baik di bahagian tengah, menyebabkan kita lambat 'settle down' dan Faisal Halim tidak dapat menerima lebih banyak bantuan daripada bahagian tengah.

Namun, beliau menyatakan peluang beraksi di pentas akhir bagus untuk pengalaman pemain-pemain mudanya.

"Ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan keranan laluan kita begitu sukar untuk ke perlawanan akhir. 

"Ini pengalaman yang bagus bagi pemain dapat beraksi di pentas akhir dan memberi lebih keyakinan dalam aksi Piala Malaysia selepas ini," katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Terengganu FC tewas 1-3 dengan gol lawan dijaringkan Bergson Da Silva dan Arif Aiman Mohd Hanapi manakala gol Terengganu FC dijaringkan Tcheche Kipre.

 

 


Tag: