• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MB Lancar Kad Laporan Prestasi, Buku Kejayaan Terengganu

Oleh - Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU, 5 Julai – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melancarkan Kad Laporan Prestasi dan Buku Kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu 2018-2023 hari ini.

Katanya, pelancaran kad laporan dan buku itu bertujuan menyampaikan maklumat sebenar pencapaian kerajaan kepada rakyat. 

Ujarnya, kedua-dua penerbitan itu tersedia dalam versi digital untuk sebaran kepada umum.

"Kedua-dua penerbitan yang disediakan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ini saya berharap seluruh rakyat dan penduduk negeri Terengganu serta semua pihak berkepentingan mendapat maklumat yang sebenar dan menyeluruh tentang rancangan, usaha dan pencapaian Kerajaan Negeri Terengganu bagi tempoh 2018 hingga 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas melancarkan dua penerbitan tersebut di Damai Lounge, U2 Wisma Darul Iman di sini. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Haji Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah dan Pengarah UPDI Ustaz Mohd Soud Said.

Ahmad Samsuri seterusnya berkata penerbitan dan penyebaran prestasi serta pencapaian Kerajaan Negeri itu menggambarkan kerjasama secara kolektif semua pemegang taruh dalam memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat dan negeri Terengganu.

Katanya penerbitan itu juga disifatkan sebagai satu penghargaan kepada para pemimpin, pegawai dan seluruh jentera Kerajaan Negeri serta semua pihak yang telah memberi sokongan dan dukungan sepanjang tempoh tersebut.

“Saya percaya, hanya menerusi konsep ta’awun (kerjasama) antara pihak kerajaan, swasta dan orang awam seperti yang telah kita amalkan ini, kita boleh pergi lebih jauh dan menjadi lebih baik supaya disegani dan diredhai Tuhan, Insya-Allah,” ujarnya.

 


Tag: