• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pasar Malam Dan Minggu Dibenarkan Beroperasi Mulai Esok

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan pasar malam serta pasar minggu di seluruh negara beroperasi mulai esok bagi individu yang telah lengkap divaksin.

Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak penguatkuasa serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan membuktikan telah menerima vaksinasi lengkap dengan menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.

"Perincian bagi kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN. Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan termasuk pemilik premis mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan.

"Bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mudarat," ujarnya melalui kenyataan di facebooknya pada hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan teragak-agak untuk melakukan penilaian semula risiko serta kemungkinan akan diarahkan untuk menutup premis serta merta sekiranya berlaku penularan wabak sepanjang menikmati kemudahan berkenaan.

"Selain mengeluarkan kompaun kepada pihak (tersebut) yang dikenalpasti melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP). Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik," ujarnya.

Justeru katanya, perkara berkenaan memerlukan penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana oleh mereka yang terbabit.

"Dalam menghadapi ancaman virus Covid-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita. Insya-Allah kita (akan)menang bersama," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama katanya bagi pasangan yang telah lengkap menerima vaksinasi dibenarkan untuk membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk makan di kedai dengan mematuhi SOP.

Ia sebagai tambahan terbaharu di negeri ini yang telah berada pada fasa dua serta negeri yang berada pada fasa satu dimana kerajaan membenarkan aktiviti dine-in bagi individu yang telah lengkap divaksinasi.

"Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut.

"Bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke 14 dari tarikh suntikan.

"Manakala jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos, contohnya Johnson&Johnson dan CanSino, individu berkenaan pula mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan," ujarnya.

Muhyiddin berkata perkembangan terkini yang diumumkan itu telah mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi di negara ini yang telah mencapai 50 peratus lebih awal daripada jangkaan disasarkan sebelum 31 Ogos.

 


Tag: