• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

'Terima Kasih Terengganu, Sekolah Kami Kembali Ceria'

TEMERLOH, 30 Disember - Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Islam At-Taqwa terharu dengan kerja keras sukarelawan Terengganu yang membersihkan institusi tersebut sehingga boleh kembali beroperasi seperti biasa.

Guru Besarnya, Khairul Azwan Zamri berkata, kerja pembersihan lumpur dan sisa banjir oleh 38 sukarelawan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu itu membolehkan SRA At-Taqwa dibuka pada pada 10 Januari depan.

Katanya, sejak empat hari pihaknya juga telah berusaha membersihkan 13 blok bangunan daripada kesan banjir namun tenaga yang terhad menyukarkan operasi.

“Pada khamis lalu, paras air naik tinggi sehingga ke paras atap sekolah, hampir menenggelamkan kelas, blok pra sekolah, tandas, pejabat dan bilik guru.Alhamdulillah kerjasama sukarelawan ini meringankan beban kami.

“Terima kasih kepada warga Terengganu terutamanya tenaga pengajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu daripada Dungun, Kuala Berang dan Kemaman kerana terus komited bergotong-royong bagi membolehkan 335 orang pelajar kembali untuk sesi hadapan.

“Kebanyakkan kelas juga semakin pulih dengan beberapa tempat lagi belum selesai, semasa air naik barangan kelas sempat dialih oleh guru-guru disini dengan kebanyakkan kerosakan hanya melibatkan perkakasan elektrik seperti kipas dan lampu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita semasa Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021 di Kampung Paya Kecil, kelmarin.

Sementara itu, wakil Jabatan Pendidikan Pahang, Yahaya Taib turut menyuarakan penghargaan kepada sukarelawan Terengganu dipimpin oleh rombongan Sekolah Imtiaz.

“SRA Islam At-taqwa ini antara dua sekolah agama termasuk Maahad Tahfiz Islamiyah yang terjejas teruk di Temerloh di samping 24 buah sekolah lain lagi di sini,” katanya yang juga daripada Sektor Pendidikan Islam JPP.