• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

10 Menara Telekomunikasi Sedang Dinaik Taraf

DUNGUN, 17 Julai - Sebanyak 10 menara sedia ada sedang dinaik taraf di beberapa kawasan di daerah Dungun melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan ia dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti capaian internet.

Ujar kenyataan itu, antara kawasan terlibat di sepanjang jajaran laluan Kampung Minda sehingga ke Pasir Raja di bawah Mukim Jengai dan Mukim Pasir Raja.

“Ini termasuk Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Rantau Panjang, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongkok Batu, Kampung Shukor serta Kampung Pasir Raja.

“Pada 10 Julai lalu, MCMC dengan wakil KETENGAH telah bertemu dengan penduduk sekitar bagi mendapatkan maklum balas berkaitan dengan kualiti liputan selain meninjau infrastruktur di kawasan berkenaan.

“Sehingga kini, satu pembekal perkhidmatan sahaja telah selesai menaik taraf menara yang sedia ada dan dapat memberikan perkhidmatan liputan 4G di kawasan tersebut,” jelas MCMC.

Ujar kenyataan itu lagi, kerja-kerja naik taraf menara-menara dijangka siap secara berperingkat bermula November 2021 sehingga Februari 2022 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kawasan itu.

MCMC turut menyarankan agar penduduk memanfaatkan perkhidmatan jalinan gentian optik (UNIFI) yang telah dilengkapi di sepanjang jajaran tersebut, dengan melanggan pakej bersesuaian.