• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

10 Unit Kuarters Balai Polis Pulau Redang Bakal Dibina Tahun Hadapan

MARANG, 5 Disember - Kira-kira 10 unit kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibina di Pulau Redang pada tahun hadapan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 2 2022.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pembinaan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta manakala proses reka bentuk dan tender masih dalam perancangan.

"Buat masa ini hanya terdapat lapan unit kuarters di Balai Polis Pulau Redang dan sebahagian daripada 28 pegawai terpaksa berulang alik dari tanah besar setiap masa kerana kesukaran untuk mendapatkan rumah sewa di pulau berkenaan.

"Justeru itu, kita ucap terima kasih kepada kerajaan untuk  tambahan kuarters ini bagi keselesaan serta kebajikan warga PDRM terutama jika tiba musim tengkujuh yang boleh membahayakan keselamatan mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Carco PDRM Kontinjem Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6 Wakaf Tapai, Marang, hari ini.

Dalam program sama, Mazlan menyampaikan sumbangan kepada 35 warga serta pesara PDRM kontijen Terengganu yang merupakan golongan asnaf dan terkesan sepanjang Covid-19.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan ibu pejabat polis kontinjen Terengganu yang baharu dijangka siap sepenuhnya pada Disember  2024.

"Ini termasuk ibu pejabat polis daerah Hulu Terengganu yang dijangka siap pada April 2024," tambahnya.