• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

100 Pemanah Berbusana, OKU Bersaing Dalam Cabaran Panahan

KUALA TERENGGANU, 24 Julai- Seramai 100 pemanah termasuk 10 orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan akan bersaing dalam Cabaran Panahan Dinamik 3D Muhibah 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, acara tahunan anjuran jabatan pelancongan melalui Kampung Budaya Terengganu itu bertujuan mempromosikan aktiviti memanah berbusana sebagai aktiviti menarik yang sinonim dengan Negeri Terengganu.

“Pertandingan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Kelab Memanah Al-Istiqamah dan Persatuan Taekwon-do Negeri ini juga disertai peserta luar dari Terengganu antaranya Kelantan, Pahang dan Selangor.

“Selain menarik kedatangan pelancong ke Kampung Budaya Terengganu, penganjuran acara memanah tradisional ini juga dapat menerapkan semangat bersaing secara sihat, berkeyakinan dan fokus terhadap apa jua yang dilakukan di kalangan peserta terutamanya OKU penglihatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Cabaran Panahan Dinamik 3D Muhibah 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, semalam. 

Menurut Fadli Yusof, sebanyak enam kategori dipertandingankan iaitu lelaki dewasa, wanita dewasa, remaja, cilik, begin rolan snake dan kumpulan cacat penglihatan yang disertai oleh wakil Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Cawangan Terengganu.

“Semasa pertandingan, semua peserta hendaklah berpakaian busana dan berkasut dan difahamkan peserta paling muda yang bakal bersaing berusia enam tahun.

“Terdapat 20 ‘check point’ iaitu taktikal (objek bergerak) dan 10 dinamik (objek statik) yang perlu dihabiskan oleh peserta memanah,” ujarnya.