PPS Kebor Besar Sediakan Pelbagai Aktiviti Untuk Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Lebih 1,000 anak muda menyertai konvoi motosikal mengiringi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke Program RXZ Members 4.0 pagi tadi.
Timbalan Ketua Unit Penyelidikan Pejabat Menteri Besar, Mohd Harun Esa yang turut serta dalam konvoi itu berkata, penyertaan ramai anak muda berlaku di luar jangkaan kerana aktiviti berkenaan pada mulanya dihadkan pada 50 orang sahaja.
"Pada 10.20 pagi MB menunggang motor RXZ dari Kediaman Seri Setia di Batu Burok diiringi pengawal peribadi bersama 50 penunggang menuju ke Terengganu International Drag Strip Gong Badak.
"Namun dalam perjalanan ke program berkenaan tanpa disangka sejumlah besar anak muda tiba-tiba menyertai konvoi berkenaan, seolah-olahnya pemimpin nombor satu negeri itu telah dinanti-nantikan oleh mereka untuk bersama ke program," ujarnya ketika dihubungi UPDI.
Menurut Mohd Harun, aksi bersahaja Menteri Besar yang mudah disapa mungkin menjadi faktor anak muda tertarik untuk turut serta dalam aktiviti itu dan mengambil peluang tersebut bagi merakamkan detik-detik indah bersama pemimpin utama negeri.
"Perkara ini tidak dirancang, mereka datang dari pelbagai arah menunjukkan anak muda sememangnya seronok untuk hadir ke program pada kali ini bersama dengan Menteri Besar.
"Menunjukkan anak muda pada masa kini menyenangi pimpinan Dr Sam yang sentiasa dilihat bersahaja," jelasnya.
Program RXZ Members 4.0 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
Lebih 30,000 peserta dijangka akan membanjiri program yang berakhir 6 petang ini.