• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

1,000 APM Tawan 70 Puncak Gunung

KUALA TERENGGANU, 30 Jun -  Seramai 1,000 anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM)  berjaya menawan 70 puncak gunung termasuk di Sabah dan Sarawak secara serentak menerusi program Pendakian dan Kibaran Serentak Panji APM sempena Dekad Platinum Pertahanan Awam, hari ini.

Koodinator Program, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata aktiviti ini merupakan salah satu pengisian berkonsepkan kepada ujian fizikal ataupun latihan fizikal bertempat di bukit atau pun gunung.

"Pihak kami telah mengenalpasti 70 puncak gunung di seluruh Malaysia dan menawannya dalam tempoh sehari secara serentak.

"Pendakian bermula daripada pagi dan ketika berada di puncak mereka akan mengibarkan panji APM dan  menyampaikan ucapan beserta video pendek sempena Dekad Platinum kami," ujarnya kepada pemberita.

Jelas beliau lagi, program  anjuran utama dari Ibu Pejabat Pertahanan Awam Malaysia, turut disokong kolaborasi bersama dengan Jabatan Perhutanan, Perhilitan, Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan.

Disamping itu juga, aktiviti tambahan adalah penanaman pokok bagi menyokong promosi Jabatan Perhutanan Malaysia, dalam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Tambahnya, poster kesiap siagaan keselamatan seperti poster pendidikan mengenai tentang persediaan sekiranya berlaku kecemasan di sepanjang rekreasi.

"Pihak kami juga meletakkan tanda arah kiblat bagi makluman pengunjung supaya sentiasa beribadat apabila sampai masanya," ujarnya.

Justeru itu dengan kejayaan pada hari ini, Che Adam  mengucapkan tahniah kepada semua negeri dan juga PTJ yang terlibat di dalam program pendakian di peringkat kebangsaan kali ini.