• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

1,000 Ayam Segar RM10 Seekor 'Licin' Dalam Dua Jam

HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Tidak sampai dua jam, 1,000 ekor ayam standard dengan harga RM10 seekor habis terjual pada Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, di sini, hari ini. 

Urusetia aktiviti jualan murah, Mohd. Zainal Abidin Ahmad berkata, setiap ekor ayam seberat antara 1.8 kilogram hingga dua kilogram dijual lebih murah berbanding pasaran.

Katanya, sebahagian harga ayam yang dijual itu  ditanggung oleh pihak penganjur karnival tersebut mengurangkan bebanan rakyat dalam berdepan kos sara hidup hari yang semakin tinggi.

"Setiap pembeli hanya dibenarkan membeli dua ekor ayam sahaja bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung dapatkan bahan mentah itu. 

“Kita terpaksa mulakan lebih awal aktiviti jualan berikutan telah ramai pengunjung beratur tidak mahu lepaskan peluang bagi mendapatkan ayam segar yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di Dataran Pasar Tani, Kuala Berang.

Sementara itu, seorang pengunjung, Samira Alias, 42, berkata seawal jam 10 pagi, dia sudah datang untuk beratur bagi mendapatkan ayam.

"Program seperti ini sangat dinantikan kerana kami dapat membeli ayam yang merupakan salah satu keperluan dapur dengan harga yang lebih murah.

"Saya harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia membantu meringankan beban kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pada program itu, hari ini.

Karnival TMBS DUN Kuala Berang berlangsung selama tiga hari bermula semalam  anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dan Pejabat ADUN Kuala Berang dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama dua buah motosikal.