• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

1,000 Orang Sertai "Event Kayuhan YBC 2022"

KEMAMAN, 2 Januari - Hampir 1,000 peserta telah mendaftarkan diri dan mengambil bahagian dalam program "Event Kayuhan YBC 2022" yang telah berlangsung dengan meriahnya, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata beliau bersyukur di atas kejayaan penganjuran program tersebut.

"Alhamdulillah, program berbasikal yang kami adakan hari ini mendapat sambutan yang sangat baik. Kami melihat para peserta gembira sepanjang kayuhan basikal ini berlangsung. 

"Ini merupakan satu permulaan yang baik sempena sambutan tahun baharu 2022. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakannya," ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Kayuhan basikal pada kali ini mengambil perjalanan sejauh 40 kilometer melibatkan laluan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai dan DUN Air Putih. 

Program ini hanya mengenakan yuran pendaftaran serendah RM25.00. Peserta akan menerima sehelai baju T-shirt "Hashtag YBC".

Dalam masa yang sama, pelbagai hadiah cabutan bertuah disediakan termasuk hadiah utama sebuah motosikal dan seutas gelang emas.