• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

1000 Sertai Kayuhan Basikal Minggu Al-Quds

KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Seramai 1,000 peserta telah menyertai Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' sempena Minggu Al-Quds 2023 bagi menunjukkan solidariti terhadap isu berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program itu merupakan salah satu pengisian dalam menyambut Minggu Al-Quds pada tahun ini.

Ujarnya, kesungguhan kerajaan negeri dalam menganjurkannya untuk mengajak seluruh rakyat menzahirkan solidariti terhadap negara seluruh umat Islam itu, serta menanam perasaan untuk membebaskannya daripada cengkaman Zionis Yahudi.

"Sebagaimana kita tahu Palestin merupakan negara yang dimiliki oleh umat Islam, walaupun kita tidak berada di sana, apa-apa yang berlaku kita mesti bertanggungjawab.

"Jadi, ini merupakan inisiatif untuk kita menyampaikan mesej daripada rakyat Terengganu dan seluruh negara untuk sentiasa mempertahankannya daripada sebarang anasir yang ingin menghancur dan memusnahkan bumi umat Islam," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmiaan program berkenaan, di Dataran Awam Batu Burok, di sini, hari ini.

Kesemua peserta telah menyempurnakan kayuhan membabitkan jarak 18 kilometer bermula di Dataran Batu Burok dan melalui Jambatan Angkat ke Masjid Baru Seberang Takir serta kembali semula ke Dataran Batu Burok.

Pada acara yang diadakan itu pelbagai hadiah cabutan bertuah telah disediakan bagi memeriahkan acara yang menerima penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat serta turut disertai kaum cina.