• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

1,000 Sukarelawan Bawa Tiga Misi Utama Ke Pahang

KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Lebih 1,000 sukarelawan PAS Terengganu menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) membawa tiga misi utama bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang.

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata selain kerja-kerja mencuci dan membersih sisa banjir serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan, program dapur rakyat antara yang menjadi misi utama.

“Program dapur rakyat akan menyediakan makan tengahari selama dua hari kepada 2,000 mangsa banjir di lapan kawasan yang terjejas di Kuantan.

“Kita menyasarkan 16 ribu mangsa banjir akan dibantu menerusi program itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan Misi Kemanusiaan Ke Pahang di hadapan Muzium Losong, di sini hari ini.

Menurut beliau, misi kemanusian selama dua hari sehingga sabtu  itu dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membantu mangsa banjir di lapan kawasan yang terjejas teruk.

“Sebaik sampai di sana, mereka akan dipecahkan kepada  25 hingga 30 kumpulan yang terdiri daripada enam orang yang mana kita sasarkan dapat membersihkan enam buah rumah dalam tempoh tiga hari.

“Kesemua peralatan membersihkan turut disertakan dalam misi ini supaya dapat melicinkan lagi pergerakan jentera di kesemua kawasan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Wan Sukairi berkata, misi bantuan ke Temerloh terpaksa ditunda kepada hari Sabtu ini disebabkan kawasan bencana masih terlibat dengan banjir termenung.

Selain itu, PAS Terengganu turut menyumbang RM50 ribu kepada PAS pahang untuk disalurkan kepada mangsa banjir.