10,000 Hadir Memeriahkan Majlis Raya Hulu Besut

HULU BESUT, 20 April — Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Terbuka Dato' Seri Haji Idris Jusoh, Kampung Darau semalam mencatatkan kehadiran luar biasa dengan 10,000 pengunjung membanjiri lokasi sejak awal majlis sekali gus memeriahkannya. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,  Mohd Husaimi Hussin menyifatkan sambutan kali ini sebagai bukti semangat perpaduan dan kekeluargaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada masyarakat Hulu Besut. Ini jelas menunjukkan semangat perpaduan yang sangat kuat dalam komuniti kita, "ujarnya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut, di sini, semalam. 

Mengulas lebih lanjut katanya, majlis telah diserikan dengan pelbagai juadah istimewa.

"Disediakan oleh para petugas, termasuk kambing golek, gulai kawah, ayam golek, nasi dagang dan sate yang mendapat pujian ramai," jelasnya. 

Dalam pada itu, turut mencuri tumpuan katanya, ialah Pertandingan Khemah tercantik bertemakan Pesta Lampu, yang menyaksikan UDM Darau dinobatkan sebagai juara

"Diikuti UDM Felda Tenang dan UDM Lubuk Kawah di tempat kedua dan ketiga. Semua penyertaan lain turut menerima sagu hati," katanya. 

Tambah beliau, antara detik paling menggembirakan baginya ialah apabila beliau berpeluang menyerahkan duit raya kepada anak-anak yang hadir, bersama ibu bapa tercinta.

Turut menyerikan majlis ialah  persembahan live band yang memainkan lagu-lagu raya dan nostalgia, serta pertunjukan bunga api yang memukau dan menambah kemeriahan sambutan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan berharap semangat kekeluargaan yang terpancar akan terus mekar dalam masyarakat Hulu Besut.

“InsyaAllah, kita akan terus bersama membina Hulu Besut yang lebih cemerlang dan harmoni. Terima kasih atas sokongan anda semua,” ujar beliau. 


Tag: