• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

100,000 Pengunjung Dijangka Hadir Karnival Pantai Terengganu


KUALA TERENGGANU, 10 September - Seramai kira-kira 100,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Program Karnival Pantai Batu Buruk yang akan diadakan pada 12 hingga 16 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Arifin Deraman berkata, karnival tersebut diadakan bertujuan untuk menarik penggiat seni budaya warisan dan  pelancong untuk datang ke negeri Terengganu.

“Tahun lepas kita jangka 20,000 lebih, tahun ini paling kurang 50,000 dijangka boleh cecah sampai 100,000 orang. Dengan acara  yang bertambah kita memang jangka  boleh mencecah sehingga 100,000 orang.

“Kita juga cuba memperkenal dan mengekalkan tradisi yang ada ini  dengan sedikit sentuhan elemen ke arah  menambah baik mengikut syariah dalam kita mengekalkan identiti  budaya warisan  negeri  Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian dalam sidang media di Marina Duyong Resort, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Ustaz Sulaiman Sulong dan  Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ab. Rasid Jusoh.

Menurutnya, kerajaan negeri berhasrat  untuk menjadikan karnival pantai sebagai  tempat rujukan  dan  tempat tumpuan kepada pelancong sama ada di Terengganu ataupun di Malaysia untuk menikmati sesuatu yang unik di Terengganu .

“Sebagaimana kita sedang promosi untuk  mengubah dan memperkenalkan negeri cantik, budaya menarik dan orang baik-baik,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau meyeru kepada semua agar hadir beramai-ramai hadir bergotong-royong membersikan kawasan pantai pada hari ini bermula jam lima petang.

Tag: