• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

105 Penduduk Pulau Redang Terima Hak Milik Tanah Selepas 25 Tahun

Sebahagian penerima hak milik tanah bergambar bersama.


KUALA TERENGGANU, 30 September- Seramai 105 peserta Rancangan Penempatan Semula Pulau Redang menerima hak milik tanah setelah menanti selama 25 tahun, sejak program tersebut diluluskan kerajaan negeri pada tahun 1994.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat mewakili kerajaan negeri, menzahirkan kesyukuran kerana berjaya menyelesaikan isu berkenaan.

"Alhamdulillah, kita berjaya menyelesaikan penyerahan hak milik tanah di Pulau Redang yang dipohon sejak sekian lama oleh penduduk di sini.


Satiful beramah mesra bersama sebahagian penerima hak milik tanah di Pulau Redang.

"Keseluruhan lot tanah terkini yang ada di sini adalah sebanyak 238 lot dan semuanya telah diserahkan kepada peserta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah kepada peserta-peserta rancangan penempatan semula di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri disamping Pegawai Pentadbir Tanah Kuala Nerus, Zulkifli Ali serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Bentuk kediaman asal yang dibina kerajaan negeri kebanyakkannya telah diubah suai.

Tambah Satiful, baki 87 peserta belum menerima hak milik tanah berikutan masih dalam proses menyelesaikan Borang 5A dan akan menerima hak milik dalam masa terdekat.

"Saya harap ia dapat diselesaikan segera lebih-lebih lagi kerajaan mengenakan premium tanah pada kadar yang lama iaitu antara RM2,000 sehingga RM2,300 sahaja berbanding premium terkini," katanya.

Berdasarkan rekod, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu telah meluluskan kawasan penempatan semula dan penduduk 'rumah air' di pulau berkenaan telah berpindah ke kediaman di darat yang disediakan kerajaan pada tahun 1996.

Pada tahun 1999, seramai 30 peserta telah menerima hak milik tanah mereka sebelum ia kemudiannya dibekukan atas beberapa faktor.


Pemandangan lot kediaman penduduk yang dibina di Pulau Redang. 



Tag: