Berita :
Usaha Perkasa Perikanan Darat: Ratusan Ribu Benih Lampam Sungai Dilepaskan Di Terengganu
Usaha Perkasa Perikanan Darat: Ratusan Ribu Benih Lampam Sungai Dilepaskan Di Terengganu
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
47

KUALA TERENGGANU , 4 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri terus komited memperkayakan khazanah perikanan darat dengan melepaskan ratusan ribu ekor anak benih ikan Lampam Sungai ke perairan umum setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah proaktif bagi memastikan kelestarian spesies ikan tempatan itu sentiasa terpelihara di habitat asalnya.

Menurut beliau, terdapat dua jenis spesies ikan lampam yang popular dan menjadi produk industri perikanan di Terengganu ketika ini, iaitu Lampam Sungai (spesies asli) dan Lampam Jawa (spesies import).

“Lampam Jawa adalah spesies ikan pendatang dari Indonesia yang dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan akuakultur, manakala Lampam Sungai pula merupakan ikan tempatan asli kita," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan industri tersebut, Dr. Azman turut berkongsi hasil tangkapan kedua-dua spesies berkenaan yang kini menjadi antara produk kebanggaan Negeri Terengganu.

Beliau menjelaskan bahawa perbezaan ketara boleh dilihat pada lokasi dan kaedah pembiakan kedua-dua spesies ikan tersebut.  

“Lampam sungai diperolehi hasil daripada tangkapan di perairan umum, iaitu lokasi di mana pihak kerajaan negeri melepaskan anak benih secara berkala.

 “ Manakala lampam jawa pula diperolehi secara komersial daripada kolam-kolam ternakan akuakultur usahawan tempatan.” Katanya. 

Ujar beliau, usaha penggandaan stok ikan di sungai-sungai utama negeri bukan sahaja bertujuan mengekalkan ekosistem sungai yang sihat, malah secara langsung membantu meningkatkan sumber pendapatan nelayan darat serta peminat aktiviti memancing di Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan