KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Reformasi federalisme tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya sudah menjadi keperluan negara bagi memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri lebih seimbang, matang dan berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia moden, sudah tiba masanya struktur federalisme sedia ada dinilai semula agar tidak terus membataskan keupayaan negeri membangunkan wilayah masing-masing.
Menurutnya, isu federalisme bukan lagi sekadar perkara teknikal Perlembagaan, sebaliknya perlu dilihat sebagai agenda nasional yang penting untuk memastikan pembangunan negara lebih seimbang, berkesan dan inklusif.
“Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, tuntutan pembangunan yang semakin kompleks serta kepelbagaian keperluan antara negeri-negeri, reformasi federalisme tidak lagi boleh dianggap sebagai isu teknikal Perlembagaan semata-mata.
“Ia perlu dilihat sebagai agenda nasional yang penting untuk memastikan pembangunan negara lebih seimbang, berkesan dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Sukairi berkata, antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah pemusatan kuasa yang semakin meningkat di peringkat Persekutuan.
Katanya, walaupun penyelarasan dasar nasional mempunyai kepentingan tertentu, pemusatan kuasa secara berlebihan boleh mengehadkan keupayaan negeri untuk bertindak balas terhadap keperluan tempatan dengan lebih pantas dan berkesan.
Beliau berkata, dalam banyak keadaan, kerajaan negeri mempunyai pemahaman yang lebih dekat terhadap cabaran sebenar yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.
“Kebergantungan yang berpanjangan kepada geran dan peruntukan Persekutuan bukan sahaja mengehadkan ruang inovasi dasar di peringkat negeri, malah boleh melambatkan pelaksanaan projek yang amat diperlukan oleh rakyat,” katanya.
Menurutnya, ketidakseimbangan pembangunan antara negeri juga masih menjadi cabaran utama negara walaupun Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan ekonomi.
Jelas beliau, jurang pembangunan antara negeri yang mempunyai kapasiti ekonomi tinggi dengan negeri yang mempunyai sumber kewangan lebih terhad perlu ditangani secara lebih tersusun.
Sehubungan itu, Wan Sukairi berkata, reformasi federalisme perlu dilihat sebagai agenda pembaharuan institusi untuk mengukuhkan negara secara keseluruhan, bukan sebagai tuntutan politik mana-mana pihak.
“Reformasi yang baik tidak bertujuan melemahkan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya memperkukuh hubungan antara semua peringkat kerajaan agar setiap pihak dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, langkah pertama yang perlu diberi perhatian ialah memperkukuh mekanisme perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri melalui platform institusi yang lebih formal, konsisten dan berkesan.
Katanya, platform itu penting bagi membincangkan isu pembangunan, kewangan, pelaksanaan dasar serta cabaran baharu yang dihadapi negara.
Dalam masa sama, beliau berkata, reformasi federalisme juga perlu memberi penekanan kepada aspek federalisme fiskal termasuk menilai semula formula pengagihan hasil dan bantuan kewangan kepada negeri.
“Negeri yang kurang berkemampuan perlu menerima sokongan yang mencukupi.
“Pada masa yang sama, negeri yang berjaya menjana hasil juga perlu diberikan insentif yang munasabah untuk terus memperkukuhkan ekonomi masing-masing,” katanya.
Wan Sukairi turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian kuasa fiskal yang lebih luas kepada negeri dalam bidang tertentu.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak bermaksud negeri diberikan kebebasan tanpa kawalan, sebaliknya ruang yang lebih besar untuk menjana pendapatan sendiri secara bertanggungjawab melalui instrumen yang dipersetujui bersama.
Beliau berkata, pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri juga wajar diteliti semula bagi mengurangkan pertindihan fungsi, konflik bidang kuasa serta birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek pembangunan.
“Dalam ekonomi yang semakin kompetitif, proses yang lebih cekap dan jelas penting bagi mempercepat pembangunan, menarik pelaburan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa menjejaskan akauntabiliti,” katanya.
Tambah beliau, reformasi federalisme mesti disertai mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih tersusun, telus dan dipercayai.
Katanya, perbezaan pandangan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah perkara biasa dalam sebuah negara persekutuan, namun ia perlu diselesaikan melalui saluran yang matang tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.
“Malaysia kini berada pada titik yang kritikal untuk menilai semula hubungan Persekutuan-negeri dalam kerangka yang lebih matang dan konstruktif.
“Reformasi federalisme tidak sepatutnya dilihat sebagai permainan menang-kalah antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Sebaliknya, ia merupakan usaha bersama untuk membina sebuah sistem tadbir urus yang lebih seimbang, responsif dan adil,” katanya.
Wan Sukairi berkata, masa depan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan Kerajaan Persekutuan, tetapi juga kepada keupayaan semua negeri untuk berkembang dan menyumbang secara optimum dalam kerangka persekutuan yang lebih dinamik.
Tag :