• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

1,082 Huffaz Berjaya Dihimpunkan Buat Kali Pertama

KUALA NERUS, 28 Jun – Kerajaan negeri sekali lagi melakar sejarah penting apabila berjaya menghimpunkan 1,082 para Huffaz melalui Himpunan Huffaz Negeri Terengganu buat julung kalinya.

Pengurus program, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata usaha tersebut mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak termasuk sekolah-sekolah Tahfiz persendirian dan organisasi yang terdapat di Terengganu.

“Kejayaan pada hari ini kerana mereka memberi kerjasama yang sangat baik., itu yang pertama. Yang keduanya, melalui program ini, kita nak melihat dari sudut kekuatan hafazan dan juga nak melihat cara kaifiah ataupun manhaj yang digunakan di setiap madrasah ataupun institusi.

 “Dan insya-Allah seperti mana yang dah diumumkan oleh Exco, program  ini dijadikan perhimpunan tahunan dan kita akan pelbagaikan program pengisiannya nanti,”ujarnya.

Beliau berkata demikian di Himpunan Huffaz Negeri Terengganu bertempat Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Turut hadir , Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah

Tambahnya, ini juga salah satu cara untuk mengatasi masalah ketandusan Huffaz di negeri ini apabila berjaya melahirkan Huffaz yang berkualiti. 

Sementara itu, Shaikh Harun berkata pihaknya sentiasa menyokong ibu bapa sekiranya mereka merancang pendidikan dengan keutamaan kepada sekolah Tahfiz bagi melahirkan lebih ramai para Huffaz.

“InshaAllah, kita akan pupuk Huffaz dengan lebih hebat melalui perancangan yang betul, bukan sekadar hafaz alQuran, tetapi  memahami dan melaksanakannya al-Quran seolah-olah Huffaz itu  al-Quran bergerak,”ujarnya.