• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

111 'Tok Bidan' Profesional, Program MamaCare Serampang Dua Mata

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Perkhidmatan ‘MamaCare’ dan 'myPapaCare’ di Terengganu berpotensi sebagai serampang dua mata dalam menyediakan peluang latihan profesional bagi golongan wanita sasar dan menjana pendapatan sebagai ‘Tok Bidan’ profesional.

Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Terengganu, Muhamad Noh Abdullah berkata, perkhidmatan MamaCare yang mengkhususkan kepada penjagaan ibu selepas bersalin, sehingga sekarang merekodkan seramai 111 orang ahli sedia berkhidmat dari seluruh daerah.

“Dengan latihan yang dijalankan, golongan ibu tunggal dan golongan B40 dapat menyertai dan memperoleh satu cara untuk jana pendapatan sambil berkhidmat kepada wanita selepas bersalin dengan rawatan kesejahteraan.

“Manakala myPapaCare diperkenalkan sebagai projek perintis di mana perkhidmatan tersebut memfokuskan terapi kesejahteraan buat golongan lelaki, terbuka juga latihan buat mereka daripada golongan B40 lelaki sahaja,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, pagi semalam.

Sementara itu, beliau berkata, LPPKN turut membangunkan modul pembangunan keluarga lain seperti ‘Smart Start’ yang memfokuskan kepada pasangan bakal berkahwin dalam memberi panduan tentang ilmu alam perkahwinan seperti kewangan, tanggungjawab, seksualiti dan sebagainya.

“Selain itu, kepada pasangan yang telah berkahwin tetapi ‘hilang percikan’, modul ‘Smart Start Second Honeymoon’ telah dibangunkan untuk mengimarahkan kembali pasangan lama.

“Program pengurusan kewangan keluarga ‘SMARTbelanja@LPPKN’ pula terbuka untuk semua yang berminat meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dalam keluarga.

“Bagi mereka yang ingin mempelajari teknik mengimbangi keluarga dan kerjaya serta memperoleh pengetahuan dan kemahiran keibubapaan, boleh menyertai kursus imbangi keluarga dan kerjaya ‘Parenting@Work’.

“Ketika waktu COVID-19, rancangan dan perkhidmatan yang disediakan telah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," ujarnya lagi.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan perkhidmatan dan program tersebut, boleh menghubungi talian 09-630 5212 ataupun berurusan di pejabat utama berhadapan Pusat Nagoya, Tingkat 1 & 2, Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu. Sebarang perkembangan terkini juga boleh mengikuti laman Facebook Lppkn Terengganu Kpwkm.


Tag: