• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

11,137 Mangsa Banjir Dipindahkan Ke 157 PPS

KUALA TERENGGANU, 28 Februari- Mangsa terjejas banjir di Terengganu terus meningkat pagi ini dengan 11,137 orang mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, setakat pukul 8 pagi tadi jumlah mangsa bertambah 3, 649 orang berbanding 7,488 mangsa pukul 10 malam tadi.

“11,137 mangsa itu terdiri daripada 3,177 keluarga yang dipindahkan ke 157 PPS yang dibuka di semua lapan daerah yang dilanda banjir di negeri ini.

“Setakat ini, daerah Kemaman kekal terjejas teruk dimana 22 PPS dibuka bagi menempatkan 3,026 mangsa daripada 827 keluarga,” ujar kenyataan itu.

Katanya, sebanyak 27 PPS dibuka bagi menempatkan 2,946 mangsa membabitkan 950 keluarga di Hulu Terenggganu.

“Di Besut, seramai 2,187 mangsa daripada 516 keluarga kini berada di 44 PPS.

"Sementara, jumlah mangsa di Setiu ketika ini seramai 1,277 orang daripada 391 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS," ujarnya.

Di Dungun katanya, 23 PPS diaktifkan bagi menempatkan seramai 1,236 mangsa daripada 362 keluarga.

“Manakala, Kuala Nerus mencatatkan 407 mangsa daripada 116 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS," katanya.

Katanya, dua PPS turut dibuka di Kuala Terengganu yang menempatkan 53 mangsa daripada 14 keluarga.

"Sementara di Marang sebuah PPS dibuka yang menempatkan sebuah keluarga dengan lima mangsa.

Menurut kenyataan tersebut, keadaan cuaca ketika ini cerah di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (hujan), Dungun dan kemaman (mendung) serta Setiu, Marang, Besut (hujan renyai).