• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

112 Jemaah Umrah Terengganu Positif COVID-19

KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Seramai 112 orang jemaah umrah Terengganu positif COVID-19 dari 25 November hingga 30 Disember tahun lepas iaitu sejak kumpulan pertama tersebut berlepas ke Tanah Suci pada 13 Oktober 2021.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, data kes positif virus tersebut mewakili 23 peratus daripada jumlah Jemaah Terengganu iaitu seramai 487 sepanjang tempoh tersebut.

Susulan itu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 1,306 daripada 11,108 jemaah yang pulang menunaikan umrah dikesan positif COVID-19, setakat akhir bulan disember lalu.

"Daripada jumlah tersebut, 592 dikesan positif hasil ujian pertama pada hari ketibaan di Malaysia.

"Tetapi, paling membimbangkan adalah, 714 kes dikesan positif hasil ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin," katanya seperti mana dilaporkan Astro Awani.

Sementara itu, bagi tempahan tiket perjalanan umrah yang baharu, Khairy berkata, ia ditangguhkan berkuat kuasa 1 Januari.

Jelas Khairy, penangguhan sementara aktiviti umrah dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.

Selain itu, ujarnya, langkah tersebut diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti itu boleh dibenarkan semula.

"Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah," katanya lagi.