• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

112 Orang Asli Sungai Berua Terima Bantuan i-Fitri

HULU TERENGGANU, 25 April – Seramai 112 keluarga Orang Asli Sungai Berua menjadi antara 4209 penerima agihan bantuan perayaan i-Fitri Negeri Terengganu 2022 peringkat DUN Telemong, di sini.

Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan itu merupakan komitmen kerajaan negeri bagi meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan sebagai persiapan menyambut  Aidilfitri.

“Keprihatinan kerajaan negeri menerusi bantuan raya ini akan meringankan beban rakyat golongan B40 dan M40 untuk menyambut hari raya.

“Alhamdulillah, kita layan rakyat dengan adil, tanpa mengira mana-mana fahaman politik, bangsa, agama dan etnik.

"Kita juga tidak akan sisihkan orang Asli dan sumbangan daripada agensi kerajaan akan diteruskan untuk membantu penduduk etnik ini di sini menjalani kehidupan yang lebih selesa  seperti rakyat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Dana i-Fitri Peringkat DUN Telemong di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Telemong, Ustaz Yusuf Abdullah dan Pegawai Jawatankuasa Kebajikan Orang Asli (JAKOA) Sungai Berua, Ghazali Ngah.

Tambah Safari lagi, bantuan RM400 diberikan kepada 4,025 isi rumah miskin manakala RM250 pula kepada 184 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 dengan keseluruhan penerima 4,209 isi rumah di DUN Telemong.