• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

112 Peserta Sertai Program Korban Perdana Hotel Primula

KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Sebanyak 16 lembu dikorbankan sempena Program Korban Perdana Hotel Primula tahun ini.

Pengurus Program Korban Perdana Hotel Primula, Zarinul Hisham Kassim berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha dalam mewujudkan impak positif dalam masyarakat di bawah Program Komuniti setempat.

Katanya, ia termasuk seekor lembu yang disumbangkan oleh pihak hotel kepada tujuh kakitangan terpilih sebagai tanda penghargaan istimewa buat mereka.

"Pihak kami membuka tawaran untuk menyertai ibadah korban selepas Aidil Fitri baru-baru ini dengan harga RM700 satu bahagian.

"Ia mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk 21 peserta dari Singapura dan kami terpaksa menghadkan untuk 15 ekor lembu sahaja dengan kekangan tenaga dan masa," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini hari ini.

Program ini mendapat kerjasama dari 24 warga kerja hotel dan 16 sukarelawan yang bergotong-royong menyembelih dan melapah sebelum menyerahkannya kepada para peserta yang mengambil bahagian untuk proses pengagihan.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun berkata ibadah berkenaan membolehkan pihak yang berkemampuan dapat berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Menurutnya,  ibadah yang dilaksanakan itu sebagai salah satu usaha menggalakkan semangat bersedekah, sekali gus menjadikan amalan tersebut budaya hidup kerana setiap rezeki yang diterima itu “mengandungi rezeki untuk orang lain”.

"Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada para peserta Ibadah Korban Perdana tahun ini, semoga Ibadah Korban kita diterima disisi Allah SWT dan menjadi kegembiraan kepada orang yang menerima daging korban tersebut,” ujarnya.