• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

114 Anak Yatim Diraikan Dalam Majlis Berbuka Puasa



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 12 Mei- Seramai 114 orang anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di Pusat Komuniti Desa Al-Muktafi Billal Shah (AMBS), di sini, baru-baru ini.

Pengawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, golongan anak yatim yang diraikan dalam majlis itu adalah daripada kalangan yang kematian bapa.

"Anak yatim yang kita pilih bukan yang kehilangan ibu, tetapi kehilangan bapa yang mana mereka kehilangan tempat bergantung dan ibu mereka pula dikategorikan sebagai ibu tunggal yang melalui keperitan apabila suami meninggal.

"Anak yatim menjadi keutamaan untuk kita santuni dengan penuh kasih sayang agar nasib mereka terbela," katanya kepada pemberita di majlis tersebut.


Menurut Ghazali, beliau amat berterima kasih kepada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang bertungkus lumus memastikan program berkenaan berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Penolong Penyelia i-MiTS DUN Bukit Besi, Zakiah Alias berkata, program tersebut bertujuan mengeratkan tali silaturahim dan ukhuwah selain menjadi jambatan penghubung kasih sayang antara anak yatim dengan pihak kerajaan.

"Semoga majlis yang diadakan dapat mengundang keberkatan daripada Ilahi pada bulan yang penuh kemulian dan kerahmatan,” ujarnya.

Tag: