• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

12 Lokaliti Di Dungun, Kemaman Dikenakan PKPD

KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun yang berkuatkuasa pada 21 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti terlibat di daerah Kemaman adalah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2.

“Di Dungun pula, antara lokaliti terlibat adalah Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, pelaksanaan PKPD kawasan-kawasan tersebut akan dilaksanakan sehingga 3 Ogos.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, Terengganu antara dua negeri yang mencatatkan kes positif Covid-19 harian di bawah 200 dengan 144 kes dikesan manakala kes di seluruh negara melebihi 10,000 kes iaitu 10,972 kes.