• 26 Nov 2020 | 10 Rabiul Akhir 1442

12 Penternak Ikan Sangkar Rugi Ratusan Ribu

MARANG, 16 November - Seramai 12 penternak ikan sangkar air payau di sekitar Sungai Marang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit setelah hasil ternakan mereka mati mengejut beberapa hari lalu.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Daerah Marang sehingga 14 November lalu, sekitar 21,300 ekor ikan  mati mengakibatkan kerugian sekitar lebih RM262,000.

Kes itu adalah yang paling teruk dilaporkan berlaku dan punca sebenar masih dalam siasatan pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dan Jabatan Perikanan Daerah Marang.

Menurut seorang penternak, Ahmad Zulkamal Md Arif, 32, kejadian seperti ini belum pernah berlaku sejak sepuluh tahun lalu menyebabkannya kerugian hampir RM 80,000.

“Kejadian mengejut ini berlaku semenjak beberapa hari lepas dan kematian ikan meningkat secara mendadak di mana boleh dikatakan hari ini adalah hari kemuncak," katanya ketika dikunjungi oleh Pihak Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perikanan Daerah Marang, Nor Hafizah Ngah ketika dihubungi berkata kes kematian pada 15 November semakin meningkat dan lebih banyak berbanding hari sebelumnya.

“Dianggarkan kematian ikan yang berlaku melibatkan spesis Kerapu, Siakap Merah dan Siakap Putih terjadi di antara satu sehingga tiga minit bagi setiap penternak.

“Pihak kami juga sedang berhubung dan menunggu keputusan sampel air daripada pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu.

“Sampel air itu diambil di tiga lokasi berbeza iaitu di Jambatan Alor Pak Bang, Perairan Air Gong Tepah, dan Kawasan Perairan Tempat Pelupusan Sampah.

“Keputusan sampel tersebut mengambil sedikit masa bagi mengetahui status sebenar serta kaitan kes ini sama ada berpunca daripada pencemaran sungai.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan, aduan telah dibuat sebaik sahaja menerima berita malang tersebut dan telah dimaklumkan kepada pihak berwajib.

“Kita sentiasa berhubung dengan dua jabatan terbabit dan mengharapkan agar semua penternak bersabar diatas ujian besar yang menimpa mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Penghulu Mukim Pulau Kerengga serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Desa Permai yang menyediakan jentera untuk menanam bangkai ikan-ikan tersebut,” katanya ketika melawat ke beberapa lokasi sangkar ikan tersebut.

Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohamad Embong dan Ahli Majlis Daerah Marang, Wan Nelang Abd Rahman.

 


Tag: