• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

1,214 Hektar Tanah Terbiar Di Setiu Diteroka Secara Haram

KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Lebih 1,214 hektar tanah kerajaan di Setiu diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan sebahagian besarnya melibatkan aktiviti penanaman kelapa sawit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ia diteroka secara haram sejak 15 tahun lalu .

Katanya, walaupun inisiatif penyelesaian sudah digerakkan bermula 2018, namun berdepan laluan sukar berikutan timbul pelbagai isu.

 “Kerajaan negeri telah menyediakan pelan penyelesaian bagi merungkai isu lapuk ini, malah saya tiada masalah untuk berdepan atau berbincang secara baik dan harmoni dengan peneroka.

“Kita tidak bercakap dalam topik penguatkuasaan atau pendakwaan, tetapi bagaimana ruang peraturan dan undang-undang sedia ada boleh dimanfaatkan untuk membuka jalan supaya yang haram boleh dihalalkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata, penyelesaian isu itu bakal membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat kerana rakyat boleh terus mencari rezeki manakala kerajaan negeri sebagai tuan tanah pula mendapat hak yang sepatutnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, isu pensijilan Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai syarat kepada pekebun menjual sawit mereka bermula tahun depan akan dapat diselesaikan dengan penyelesaian status tanah.

“Sekali gus mampu menarik peneroka haram untuk menyelesaikan isu tanah berkenaan kerana untuk dapat sijil MSPO, status tanah yang diusahakan mesti 'halal’,” ujar Azman.