• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

126 Peserta Undi Lot RTB Felcra Darat Datok C Terengganu

KEMAMAN, 14 Oktober - Seramai 126 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kelapa Sawit Felcra Darat Datok C hadir dalam majlis pengundian lot tapak tanah tersebut.

Tanah pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh FELCRA BERHAD dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dalam membantu rakyat menjana pendapatan.

Hazri Jusoh sedang berucap

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal Ustaz Hazri Jusoh yang merasmikan majlis tersebut menegaskan agar mengsyukuri nikmat dan anugerah yang dikurniakan oleh Allah ini dan jangan mengkufurinya.

"Nabi Muhammad S.A.W ada menyebut, wahai umatku aku tidak bimbang kesusahan dan kefakiran keatas umatku, tapi yang aku bimbang adalah bilamana kamu diuji dengan kemenangan, diuji dengan kebendaan, diuji dengan kesenangan. Maka kamu akan berebut, kamu akan berbalah sesama kamu dan kamu akan musnah sebagaimana umat sebelum kamu," ucapnya.

Pegawai Pentadbir Tanah Kemaman Muhammad A. Rahman yang turut berucap menerangkan tentang undang-undang tanah negeri dan menasihatkan agar dijaga sebaiknya tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini.

"Tanah ini adalah satu eset yang bernilai bagi kita, kerana tanah ini juga adik beradik berpecahbelah. Oleh itu hargailah ia dan jagalah sebaiknya," katanya.

"Selagi tanah tersebut tidak didaftarkan diatas nama kita didalam seksyen 78 3, maka ianya masih bukan milik kita walaupun premium telah dikeluarkan," ucapnya lagi.

Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Timur, Zulkifli Sidek yang juga turut berucap menyatakan pihaknya akan membayar dividen sebanyak tiga kali dalam setahun.

"Pihak Felcra akan membayar dividen ke dalam akaun tuan puan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada awal persekolahan, sebelum Aidil Fitri dan pada akhir tahun," terangnya.

Majlis tersebut diadakan di Dewan Badminton Pejabat Daerah Kemaman kelmarin dalam suasana kepatuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) Covid 19 yang ditetapkan oleh kerajaan.

Peserta RTB tersebut masing-masing menandatangani perjanjian dengan FELCRA BERHAD diakhir majlis itu.


Tag: