• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

13 Kategori Perlumbaan 'Hangatkan' IGMR 2023

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - International Golden Monsun Ride (IGMR) 2023 menawarkan 13 kategori perlumbaan melalui kejohanan edisi ketiganya pada 16 Disember ini.

Kategori dipertandingkan ialah Men Elite, Men Open dan Junior, Master A,B,C, Women Open dan Master, Heavyweight, Fat Bike Open, E-Bike Open dan Gravel Bike Open.

Satu lagi kategori ialah kayuhan Fun Ride Open yang menampilkan pelumba-pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata, IGMR menawarkan hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM31,000.

"Acara sukan berbasikal ini akan diadakan di Teluk Kalong ,Kemaman.

"Peserta-peserta bagi semua 13 kategori akan menempuhi laluan beberapa destinasi pelancongan dan trak 'off road' di Kijal dan Kemasik," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Pra Pelancaran IGMR 2023 di KTCC Mall, hari ini.

Lebih menarik, acara tahun ini turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM120,000 dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi 1.3 Auto.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.

Turut hadir, timbalannya Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, pengurusan EPIC Berhad serta ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc.

Pendaftaran dibuka kepada orang ramai sehingga pertengahan November melalui pautan https://bit.ly/DaftarIGMR2023 dengan tawaran 'early bird' sah sehingga 15 Oktober ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook kejohanan- IGMR 2023.