• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

13 Menara Telekomunikasi Baharu Di Setiu Terengganu

SETIU, 13 Julai - Sebanyak 13 menara komunikasi baharu akan dibina manakala 57 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf bagi meluaskan rangkaian perkhidmatan 4G di Parlimen Setiu.

Ahli Parlimennya, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, projek itu telah diluluskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kini dalam proses tender.

Menurutnya, kawasan terlibat yang akan mendapat manfaat bagi projek itu meliputi enam kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, empat kampung di DUN Permaisuri dan empat kampung di DUN Jabi.

“Di DUN Langkap, kawasan yang terlibat ialah Kampung Tayor Tengah, Hutan Lipur Lata Payung, Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang, Kilang Sawit Chalok dan Bukit Lawang manakala di DUN Permaisuri pula melibatkan Kampung Mangkuk, Kampung Air Sejuk Guntung, Pengkalan Gelap dan Kampung Padang Serai.

“Selain itu, Kampung Bukit Tanah, Kampung Padang Lindong Oh Jabi, Kampung Kepala Gajah dan Kampung Baru Tok Dor di DUN Jabi.

“Insya-Allah, kita harapkan projek ini dapat membantu mengatasi masalah liputan rangkaian internet yang lemah, sekali gus dapat meluaskan rangkaian 4G dalam Parlimen Setiu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) juga, seramai 1,322 pelanggan sedia ada di Setiu akan dinaik taraf daripada perkhidmatan rangkaian berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik untuk jalur lebar talian tetap.

Jelasnya, Jendela yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos 2020 adalah inisiatif kerajaan dan pemain industri bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur yang lebih cepat dan menyeluruh.


Tag: