• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

13 Pusat Penilaian COVID-19 Lancarkan Pengurusan Pesakit Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kewujudan 13 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Terengganu sejak 22 Januari lalu berjaya melancarkan proses penguruskan pesakit pandemik berkenaan yang menjalani rawatan di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, CAC berperanan untuk menilai pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 yang memenuhi kriteria untuk pengasingan di rumah (home isolation).

"Prosesnya melibatkan stratifikasi risiko, saringan fizikal dan penilaian kesesuaian rumah sebelum layak dipertimbangkan untuk perawatan dan pengasingan di rumah.

"Sehingga 31 Januari 2021, bilangan kes COVID-19 kategori 1 dan 2 di seluruh negeri Terengganu yang layak menjalani pemantauan di rumah melalui penilaian CAC adalah sebanyak 72 kes (jumlah kumulatif) dengan 50 kes masih aktif,” jelasnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, semalam.

Terdahulu beliau melawat sebuah CAC di Klinik Kesihatan (KK) Chendering, Kuala Terengganu selepas lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan COVID-19 ke Terengganu di Wisma Darul Iman.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Mengulas mengenai CAC di Chendering itu, Dr Noor Hisham berkata ia berada di bawah Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu.

"CAC KK Chendering memberi liputan untuk kawasan Kuala Terengganu Tengah dan Selatan. Manakala KK Manir memberi liputan untuk Kuala Terengganu Utara.

"Syabas dan tahniah kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri yang telah berjaya memulakan operasi CAC dalam masa yang singkat.

"Semoga melalui pelaksanaan CAC ini, penilaian risiko dan koordinasi pengasingan dan perawatan pesakit COVID-19 dapat dilaksanakan dengan lebih lancar," katanya.

Infografik CAC di Terengganu