• 21 Okt 2021 | 14 Rabiul Awal 1443

14 Barangan Disenarai SHMMP Krismas

KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Sebanyak 14 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sebagai langkah menstabilkan harga barang di pasaran ketika musim perayaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, penguatkuasaan telah bermula semalam sehingga 31 Disember ini.

“Antara barangan tersenarai seperti ayam (hidup, standard, super), ayam belanda import, telur ayam, daging kambing dan biri-biri import, telur ayam (gred A,B,C), tomato dan Kubis Bulat (import).

“Sebelum pelaksanaan, pihak kementerian sudah mengedar risalah kepada semua peniaga-peniaga sebagai panduan pematuhan, setakat masa ini tiada lagi tindakan dibuat kerana masih ada peniaga yang baru mendapat maklumat berkenaan skim tersebut.

“Justeru, pada peringkat awal ini kami mengharapkan agar para peniaga meletakkan harga-harga barangan dibawah harga maksima dan elak melepasi batasan tersebut,"katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas peringkat Terengganudi Pasaraya PXR, Kuala Nerus, pagi semalam.

Tambah beliau, untuk membezakan harga biasa dengan harga kawalan pengguna perlu melihat dan menyemak pada tanda harga berwarna merah jambu.

Mengulas berkenaan faktor pelaksanaan harga maksimum, Shaharuddin berkata, perbincangan telah diadakan sebelum perlaksanaan bersama para pemborong utama, peladang, penternak bagi memastikan harga barangan munasabah.

“Selain itu, faktor bekalan turut diambil kira dalam penetapan harga dan kita tidak sewenang-wenangnya menetap harga dan mengambil kira tentang peniaga dan pengguna.

“Antara peniaga yang terlibat adalah di sektor pasaraya, pasar basah, kedai runcit dan di peringkat borong juga akan dipantau kerana harga pemborong mempengaruhi harga runcit,"ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti yang ditetapkan.

"Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.