• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

1,400 Pekerjaan Buat Rakyat Terengganu

SETIU, 23 Februari - Sebanyak 1,400 daripada keseluruhan 2,000 peluang pekerjaan digazetkan khusus buat rakyat Terengganu dalam bidang pertanian lada hitam. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kuota itu sudah dimeterai dalam perjanjian awal kerjasama. 

“Dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri dan McCormick memang dinyatakan secara hitam putih 70 peratus daripada pekerja adalah rakyat Terengganu. 

“Pada masa yang sama, syarikat yang telah membuka beribu-ribu peluang pekerjaan ini akan mengambil pekerja secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Perjanjian Antara Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) dan McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, di sini semalam.

Azman Ibrahim turut berkata, TADC dianggap sebagai ‘vehicle’ bagi memacu agenda pertanian negeri ke arah penghasilan sumber serta keberhasilan usahawan.

“Kerajaan turut menyediakan lot khas bagi 25 peserta yang ingin menanam lada hitam dengan kira-kira 5 ekar setiap peserta supaya teknologi yang dibawa McCormick mampu dikongsi,” katanya.

Turut berlangsung di Sungai Tarom adalah Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu dengan pelbagai reruai daripada agensi kerajaan.

 


Tag: