• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

147 Peniaga Bazar Ramadan Terima Sumbangan PKM Manir

HULU TERENGGANU, 9 April – Semangat dan keceriaan jelas terpancar pada raut wajah 147 peniaga Bazar Ramadan Pasar Manir di sini, apabila menerima kunjungan dan sumbangan kurma dan apron daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Manir, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, agihan tersebut bertujuan merapatkan lagi silaturahim antara masyarakat.

"Selain melakukan agihan sumbangan, kita juga turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan peniaga-peniaga dan para pengunjung di sini yang majoriti daripadanya adalah penduduk di kawasan DUN Manir.

"Rata-rata peniaga ditemui menyambut baik program dilaksanakan ini kerana dengan cara ini dilihat mampu menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita.

Hilmi juga berkata, program sebegini merupakan salah satu acara tahunan yang dianjurkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.

Selain itu, program yang turut mendapat kerjasama daripada Penganjur Bazar, Persatuan Kebajikan Komuniti Manir juga sentiasa bertugas memantau perjalanan perniagaan di pasar tersebut.